This is from another e-mail I received and I did spent my time reading this. It above any others include us all into "World Financial Crisis" we're in right now and each of us contributes to the crisis.
I can say after reading, its worth the time spent.
Hari ini kapitalisma sedang menghadapi krisis yang tenat. Pelbagai hujah telah diberikan untuk menerangkan kepada orang ramai tentang krisis ini. Manifestasi dari krisis kapitalisma ini sedang dialami oleh kita semua justeru tidak perlu lagi kita berdolak dalik untuk menafikan kewujudan krisis ini.
Apa yang masih belum jelas ialah kenapa krisis ini berlaku. Ada yang mengatakan bahawa krisis ini timbul kerana banyak peraturan perniagaan telah dilupuskan. Ada pakar ekonomi yang mengatakan bahawa krisis ini muncul kerana gaji CEO , pengarah syarikat dan pemegang saham telalu tinggi.
Ada yang mengatakan bahawa krisis ini timbul kerana tamak haloba. Semua ini betul. Semua ini tidak salah.
Sebab itu, jawapan-jawapan ini hanyalah manifestasi dari sistem kapitalis itu sendiri. Justeru adalah salah untuk menerangkan bahawa krisis hari ini adalah krisis kewangan. ¨Financial Crisis¨ ini hanyalah symptom dari krisis kapitalisma itu sendiri. Sistem kapitalisma ini mencakupi semua – keewangan, khidmat, pembuatan, pengeluaran dan pengguna.
Jika kita sakit kepala pasti ada bahagian tubuh badan kita yang kurang sempurna. Jika kita deman pasti ada puncanya. Jika kereta rosak maka kita akan mencari apa yang telah patah atau skrew mana yang tercabut. Tubuh badan kita adalah satu sistem. Enjin kereta yang bergerak itu juga adalah satu sistem. Ekonomi yang kita gunakan ini juga adalah satu sistem. Permasalahan yang muncul hari ini wajib dilihat bukan hanya pada sebiji skrew, sehelai wire tetapi melihat keseluruhan sistem itu sendiri.
Kapitalisma bergerak atas dasar membuat keuntungan maksima. Inilah asas kapitalisma yang tidak pernah berubah-ubah. Jika ianya bukan berasaskan keuntungan maksima, maka sistem itu bukan lagi sistem kapitalis.
Untuk mendapat keuntungan maksima, maka langkah pertama yang akan dilakukan oleh para kapitalis ialah membayar ubah tenaga yang rendah. Dengan upah tenaga yang rendah bermakna kaum pemodal akan mendapat keuntungan maksima. Lebihan tenaga buruh ini akan menjadi tambahan untuk keuntungan kaum pemodal. Lebih murah upah diberi maka akan lebih banyak keuntungan yang akan dipungut.
Sistem ekonomi kapitalis telah menanamkan nilai konsumer/pengguna kepada kaum buruh dan pekerja. Nilai konsumer ini amat penting dalam budaya kapitalisma. Tanpa menghayati dan menyembah budaya konsumer, maka kapitalisma tidak dapat berkembang. Konsumer dan kapitalisma adalah isi dengan kuku.
Dalam budaya kapitalisma nilai hidup dan erti hidup dihitung dengan barang yang dimiliki, harta yang dipunyai, percutian yang dilalui dan benda-benda yang digunakan dalam kehidupan sehari-hari. Untuk mendapatkan produk maka kita diwajibkan menjualkan tenaga kita kepada kaum kapitalis.
Melalui upah yang kita dapati ini, justeru kita akan boleh membeli barang dan produk konsumer. Lebih banyak barang konsumer yang kita beli dan pakai, kita akan dinilai sebagai berjaya dalam budaya kapitalisma.
Di sini muncul krisis dari sistem kapitalisma. Dari satu sudut - para kapitalis ingin barangan yang mereka keluarkan dari kilang dijual dan digunakan. Dari sudut yang lain - bakal si pembeli dan pengguna ini wajib diberi upah yang murah untuk memastikan keuntungan maksima. Namun, dengan upah yang murah mana mungkin si pembeli dapat dan berupaya membeli produk-produk ini.
Inikah kontradiksi dalam sistem kapitalis. Kontradiksi ini tidak akan dapat diselesaikan oleh sistem kapitalisma.
Percubaan untuk menyelesaikan kontradiksi ini telah dijalankan. Kita melihat sendiri di Malaysia di mana kaum pemodal tempatan dan antarabangsa untuk melipat gandakan keuntungan enggan menaikkan upah tenaga kaum buruh. Hingga ke hari ini tidak ada dasar gaji minima untuk kaum buruh, walau pun kaum pemodal memiliki dasar keuntungan maksima.
Untuk melarikan dari tuntutan upah tinggi, maka apa yang telah dilakukan oleh para kapitalis tempatan dan luar negara ialah mengimpot tenaga buruh dari luar. Tenaga buruh dari luar ini telah berjaya menurunkan tuntutan upah dari kaum buruh tempatan.
Hasilnya taraf kehidupan warga terus tidak berubah malah secara nisbah semakin merosot. Cita-cita untuk menikkan taraf kehidupan terus gagal kerana upah untuk bekerja amat murah.
Upah yang rendah ini juga tidak memungkin berkembang dan merancakkan tahap ekonomi dalam negara. Warga yang tidak berduit tidak mungkin ianya akan berbelanja. Upah murah bermakna para konsumer tidak memiliki memiliki tenaga beli.
Perkara yang sama juga telah dilakukan oleh kaum kapitalis di Amerika dan Eropah. Mereka mengimpot tenaga murah dari dunia ketiga. Untuk terus melipat gandakan keuntungan, mereka telah menjalankan dasar apa yang dipanggil out sourcing. Mengupah orang luar dengan upah yang rendah untuk melakukan pekerjaan yang dahulunya dilakukan dalam negara. Bila ini berlaku maka sekali warga Amerika dan Eropah sendiri kehilangan pekerjaan kerana buruh impot dan buruh luar sanggup menerima upah yang lebih murah.
Tidak cukup dengan ini kaum pemodal ini telah menutup kilang di Amerika dan Eropah dan membuka di wilayah-wilayah dunia ketiga dimana harga buruh amat murah. Kaum buruh di Amerika dan Eropah sekali lagi hilang pekerjaan apabila kilang kilang mula berpindah ke Vietnam, Malaysia, China dan Thailand.
Hari ini hampir 100 peratus barangan yang terjual dari WalMart di Amerika didatangkan dari negara China.
Kontradiksi ini bertambah meruncing. Produk produk yang dibuat di China ini bertujuan untuk dibeli oleh pengguna di Amerika. Tetapi para pengguna di Amerika telah hilang pekerjaan — bermakna tidak memiliki keupayaan untuk membeli. Apa yang terjadi — barangan yang dibuat murah di China semakin menggunung kerana tidak dapat dijual.
Justeru inilah yang telah ditunjukkan oleh Karl Marx bahawa kapitalisma ini membunuh diri sendiri.
Kapitalisma dapat berkembang hebat – boom time - apabila menemui tanah baru seperti Amerika, Australia dan Kanada. Kapitalisma berkembang hebat apabila ada penemuan-penemuan teknologi baru – letrik, jalan keretapi, tenaga nuklear termasuk internet. Boom time ini akhirnya akan menjadi burst time dan pancet. Ini adalah sifat asli kapitalisma.
Penemuan baru akan memungkinkan kaum pemodal membuat keuntungan berlipat ganda. Apabila Britain membuat enjin kereta ianya mengambil hampir 100 tahun sebelum Malaysia dapat menirunya. Selama 100 tahun ini nisbahnya Britain memiliki monopoli – ini antara Britain dengan Malaysia. Tetapi hakikatnya apa sahaja penemuan baru ianya hanya dapat bertahan dari tahun ke tahun sebelum teknologi itu ditiru. Malah teknoloji telah berkembang luas – apa sahaja penemuan teknologi baru akan ditiru dengan cepat.
Jika ini berlaku, nampaknya boom time cukup singkat sebelum sampainya burst time. Contoh terbaik terjadi dalam dotcom boom di akhir tahun 80’an dahulu.
Apabila tiru meniru terjadi, apabila semua negara mengeluarkan produk yang hampir sama, maka hasilnya ialah pengeluaran yang berlebihan dari permintaan. Supply and demand mengikut teori Adam Smith akan mewujudkan ‘tangan halimunan’ untuk memperseimbangkan dua pekara ini. Ini tidak pernah berlaku kerana yang halimunan ini tidak pernah wujud. Tangan halimunan ini adalah satu illusi dalam teori kapitalsima.
Hari ini telah terbukti pengeluaran telah melimpah ruah melebihi permintaan. Lambakan demi lambakan produk murah dari China misalnya sedang mengancam sistem kapitalis ini sendiri.
Pengeluaran melimpah ruah ini juga adalah sifat kapitalisma itu sendiri. Setiap kapitalis akan merahsiakan barangan dan produk yang mereka hasilkan. Kapitalis ingin dapat mengeluarkan satu produk yang eksklusif. Tetapi ini hanyalah angan-angan kerana semua kaum kapitalis memiliki sifat yang sama. Justeru mereka bersaing dan melawan antara satu sama lain dalam usaha untuk melahirkan dan mencipta produk. Di sini jelas pembaziran tenaga, modal dan fikrah.
Satu lagi cara untuk terus unggul di pasaran ialah memurahkan harga barangan mereka. Awalnya ini dapat dilakukan dengan upah buruh yang murah. Atau dengan teknologi baru. Teknologi akhirnya akan ditiru. Upah buruh murah akan membunuh kuasa pembeli. Maka hasilnya ialah lambakan barang murah yang tidak ada pengguna.
Kontradiksi ini tidak dapat diselesikan oleh kapitalisma.
Percubaan telah dilakukan untuk menyelesaikan kontradiksi upah murah ini. Di Amerika – konsumer terbesar dalam dunia – tidak memiliki daya beli. Apa yang telah dilakukan oleh kaum kapitalis semenjak tahun 80’an ialah memberikan bakal konsumer ini duit pinjaman. Duit yang dipinjamkan ini diharapkan akan mengerakkan pasaran jual beli konsumer.
Di Malaysia sendiri skim ini telah dijalankan oleh bank dengan memberi kad kredit. Ini untuk menggalak lahirnya para konsumer untuk membeli produk. Dari laporan media, kita mengetahui hari ini hutang kad kredit yang tidak terpungut hampir mencecah 10 bilion ringgit. Ini hanya di Malaysia.
Di Amerika pukul rata warga memiliki lebih dari lima keping kad kredit. Memang betul untuk satu masa yang pendek ada pergerakan jual beli konsumer produk dengan berhutang. Apabila sampai masanya untu memungut hutang maka didapati bahawa sipiutang ini tidak ada keupayaan untuk membayar. Inilah dia subprime loan yang sedang meracun kapitalisma.
Sebenarnya, kapitalisma ini sebenarnya tidak ada bezanya dari sistem ekonomi Pak Man Telo.
Selama hampir 150 tahun, sistem ini telah bergerak dan berkembang. Membuka dan mencari pasaran baru. Mengeluar produk baru. Tetapi masanya telah sampai di mana sistem ini tidak dapat bergerak lagi. Seperti Pak Man Telo – orang terakhir untuk membeli labu peramnya telah sampai. Tidak lagi ditemui pembeli baru. Pak Man Telo tidak dapat memusing dan memutar lagi. Akhinya semuanya lungkup.
Amerika dan Eropah sedang berusaha untuk menampal lubang lubang kapitalisma yang sedang bocor dengan menggunakan berbilion duit rakyat. Untuk seketika ini kapitalisma masih bergerak dengan tempang. Satu demi satu bank jatuh muflis. Satu demi satu syarikat gergasi masuk gaung. Kaum buruh semakin banyak hilang pekerjaan. Rumah semakin banyak tergadai. Kemiskinan semakin meluas. Jurang mereka yang kaya dengan mereka yang miskin semakin melaut.
Hakikatnya sistem kapitalis ini penuh dengan kontradiksi yang membunuh dirinya sendiri.
Jawapan kepada krisis kapitalisma bukan memperbaiki sistem ini, tetapi menghumbankan sistem ini dan memunculkan satu sistem ekonomi terancang yang bukan berasaskan keuntungan maksima. Satu sistem ekonomi yang demokratik di mana jual beli diuruskan oleh orang yang menjual dan orang yang membeli.
Pendemokrasian perniagaan ini amat penting untuk dijadikan asas di mana pembuatan dan pengeluaran adalah untuk keperluan bukan untuk keuntungan. Pembuatan dan pengeluaran adalah untuk kebaikan ramai bukan untuk kebaikan individu atau peribadi tertentu sahaja. Mereka yang membuat barang di kilang bukan hanya membuat barang tetapi akan turut sama membuat dasar kilang.
Jadi, sebelum keruntuhan sistem Pak Man Telo adalah lebih baik kita gunakan tenaga dan akal fikiran untuk mencipta satu sistem ekonomi yang lebih adil dan yang berdiri di bumi yang nyata dan bukan berilusi dengan ‘the invisible hand’. (HR)
Nota: Makalah ini diedarkan sewaktu Seminar Ekonomi Alternatif, anjuran ASASI pada 23 Mei 2009, di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM.
Read More and Photos After The Jump...